LRT bertembung: Pemandu tren negatif dadah - Polis
Sinar Harian
Mei 25, 2021 23:18 MYT
Mei 25, 2021 23:18 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu tren pandu uji dalam insiden pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC, di sini pada Isnin, negatif dadah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemandu berusia 32 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 5 petang, Selasa.
"Kita telah panggil dia untuk ujian saringan air kencing dan didapati adalah negatif dadah," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, buat masa ini tiada keperluan untuk pihaknya merekod keterangan pemandu itu. Setakat ini, dia dipanggil hanya untuk saringan ujian kencing.
Katanya, selain itu, sekiranya ada keperluan, polis juga akan membantu pasukan panel penyiasat khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.
Dalam sidang akhbar pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu, dapatan awal punca kemalangan dua tren dikenal pasti disebabkan kecuaian pemandu gerabak (hostler) salah satu tren yang memandu dalam arah yang salah.
Tren bernombor 40 (TR40) iaitu gerabak kosong sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke stesen Dang Wangi tetapi didapati bergerak ke arah utara sekali gus mengakibatkan pelanggaran dengan TR81 yang membawa 213 penumpang.
Artikel asal: Pemandu tren LRT negatif dadah: Polis
#LRT bertembung
#pemandu tren
#negatif dadah
#ujian saringan
#klana jaya
#KLCC
#Kampung Baru
#cedera parah
#HKL