LRT bertembung: Laporan siasatan siap, akan dibawa ke Kabinet esok - Wee Ka Siong

Afiezy Azaman
Jun 8, 2021 12:09 MYT
Datuk Seri Wee Ka Siong berpuas hati dengan laporan yang dibentangkan secara maya oleh sembilan anggota diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan itu.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden perlanggaran LRT Kelana Jaya pada 24 Mei lalu telah menyiapkan laporan mengenai kemalangan tersebut.
Pembentangan laporan tersebut dijangka dibuat dalam Mesyuarat Kabinet dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi tren RapidRail, pada Rabu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berpuas hati dengan laporan yang dibentangkan secara maya oleh sembilan anggota diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan itu.
"Laporan dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka.
"Pada ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan.
"Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, malah penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Selasa.
Ka Siong turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras selama beberapa hari dalam menyiapkan laporan tersebut.
"Syabas atas usaha keras dalam beberapa hari ini, bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temu siasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan," ujarnya.
Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak ditubuhkan selepas berlakunya insiden tersebut.
Jawatankuasa itu diberi masa 14 hari bermula 25 Mei lalu untuk melengkapkan siasatan seterusnya membentangkan kepada Kabinet.
Dalam insiden itu yang berlaku pada 24 Mei lalu, seramai 65 penumpang termasuk enam warga asing cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
#Wee Ka Siong #LRT #SOP #kemalangan #kabinet #LRT Kelana Jaya #Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan #kereta api #RapidRail
;