LRT bertembung: Laporan siasatan sah insiden akibat kecuaian, pengabaian SOP
Fareez Azman
Jun 10, 2021 17:40 MYT
Jun 10, 2021 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Siasatan Insiden Perlanggaran Tren LRT Kelana Jaya, mengesahkan insiden tren bertembung berhampiran Stesen KLCC pada 24 Mei lalu berpunca akibat kecuaian manusia.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika membentangkan laporan berkenaan dalam sidang media hari ini, berkata pemandu dan pengawal Pusat Kawalan Operasi (OCC) didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) kritikal ketika kejadian.
"Siasatan mendapati ketika proses pemindahan Tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada Operasi Tren Automatik (ATO), kedua-dua hostler (pemandu) dan pengawal OCC telah mengabaikan SOP kritikal tertentu.
"Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh," katanya dalam sidang media secara dalam talian.
Ka Siong berkata, sebelum kemalangan itu berlaku, Tren 240 mengalami masalah teknikal pada salah satu sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) pada jam 6.26 petang hari kejadian.
"Susulan itu, pemandu diarahkan mengendalikan tren terbabit secara manual untuk dibawa ke depoh di Subang.
"Namun pada jam 8.13 malam, satu lagi sistem VOBC tren 240 mengalami masalah teknikal mengakibatkan masalah komunikasi diantara pemandu dan OCC.
"Siasatan mendapati rakaman audio di antara pemandu dan pengawal pusat kawalan operasi (OCC) mengalami kesukaran dan terganggu ketika berada di terowong.
"Pemandu tidak memaklumkan trek laluan tren berkenaan ketika itu," katanya lagi.
Animasi grafik insiden LRT bertembung
Katanya, pada masa sama, Tren 181 yang membawa 213 penumpang ketika itu telah ditahan di Stesen KLCC selama kira-kira 10 minit dan diletakkan status Manual Route Reservation (MRR).
Beliau berkata, ia merupakan SOP biasa sebagai perlindungan kepada Tren 240 sebelum dikendalikan secara ATO.
"Namun, Tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan Stesen KLCC menuju ke Stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan Tren 40 telah diset semula kepada ATO.
"Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara Tren 40 dan Tren 81," jelasnya lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.33 malam 24 Mei lalu, 47 penumpang cedera parah manakal 166 lagi cedera ringan selepas tren dinaiki mereka bertembung dengan Tren 240.
[TERKINI] LRT Bertembung | Laporan siasatan siap, dibentang ke Kabinet esok
#LRT bertembung
#laluan klana jaya
#kemalangan
#parah
#Wee Ka Siong
#Nahas
#siasatan
#MOT
#Kementerian Pengangkutan
#SOP
#kecuaian manusia
#Pelanggaran SOP