LRT bertembung: Isu kelemahan komunikasi perlu disiasat

Hilmi Malik
Mei 26, 2021 23:01 MYT
Isu kecuaian dan masalah komunikasi mungkin menjadi punca terhadap insiden pertembungan LRT menurut Presiden CILT, Prof Datuk Abd Radzak Abd Malek.
KUALA LUMPUR : Insiden pertembungan LRT pada Isnin lalu berkemungkinan berpunca daripada kecuaian melibatkan lebih daripada seorang individu.
Presiden Institut Logistik Dan Pengangkutan Bertauliah Antarabangsa, Prof Datuk Abd Radzak Abd Malek berpendapat, perkara seperti itu mempunyai kaitan dengan kelemahan komunikasi.
“Kalau kita lihat siapa yang bagi kebenaran tren 40 (uji pandu) itu untuk bergerak dan adakah sebuah lagi tren diberikan amaran untuk berhati-hati dengan keadaan sebuah tren yang dalam keadaan diuji?
“Sebenarnya sistem operasi kereta api merupakan yang paling selamat di dunia dan kemalangan cuma akan berlaku sekiranya ada kecuaian melebihi seorang individu,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, Abd Radzak berpendapat, pelaksanaan latihan kecemasan melibatkan pengangkutan seperti itu perlu dilakukan sekurang-kurang sekali dalam setahun .
“Perlu dilakukan mungkin sekali atau dua kali dalam tempoh setahun untuk kita siap sedia.
“Latihan seumpama itu perlu melibatkan pihak berkuasa antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, serta petugas kecemasan.
“Adakah kita melakukan ini? Jangan ambil mudah perkara seperti ini,” katanya lagi.
Isnin lalu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
#LRT #kemalangan #Kementerian Pengangkutan #prasarana #Tajuddin Abdul Rahman
;