LRT bertembung: Enam masih parah, 15 separa parah, 43 tidak kritikal - Annuar Musa
Afiezy Azaman
Mei 25, 2021 08:16 MYT
Mei 25, 2021 08:16 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 64 daripada 213 penumpang yang terlibat dalam insiden pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Isnin.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan kemas kini tersebut di dalam ciapan Twitter, pada awal pagi Selasa.
Katanya sejumlah enam mangsa mengalami kecederaan parah dengan tiga daripadanya diberikan alat bantuan pernafasan.
Sementara 15 lagi mangsa mengalami kecederaan separa parah manakala 43 lagi tidak kritikal.
Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kecemasan HKL yang bertungkus-lumus merawat mangsa yang cedera sehingga jam 1.38 pagi tadi.
Terdahulu, dua buah tren LRT terbabit kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru dengan salah satu yang terlibat membawa 213 penumpang.
Tren berkenaan dalam perjalanan dari Gombak, dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang dipercayai mengalami masalah teknikal.