LRA Sg Semenyih kembali beroperasi, dijangka pulih sepenuhnya 6 September
Astro Awani
September 4, 2021 14:37 MYT
September 4, 2021 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kini sudah kembali beroperasi selepas henti tugas sementara berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 6 petang, hari ini.
"Gangguan bekalan air tidak berjadual di kesemua 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka akan pulih sepenuhnya pada 6 pagi, 6 September 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
Malah katanya, Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19.
Pada masa sama, Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.