LRA Bukit Pinang, LRA Pelubang berisiko hadapi gangguan operasi - SADA

Bernama
September 29, 2024 11:00 MYT
SADA memaklumkan mengenai keadaan air yang keruh di LRA Bukit Pinang dan LRA Pelubang melalui kenyataan di media sosial.
ALOR SETAR: Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang dan LRA Pelubang berisiko menghadapi gangguan pengoperasian akibat kekeruhan air mentah.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam kenyataan di media sosial memaklumkan kekeruhan itu disebabkan oleh hujan lebat berterusan.
"Bacaan kadar kekeruhan air mentah melibatkan pengoperasian LRA Bukit Pinang dan LRA Pelubang telah menunjukkan trend meningkat dan berisiko terjadi gangguan bekalan air melibatkan pengguna di beberapa daerah.
"Sehingga kini, LRA yang terlibat masih beroperasi 100 peratus, namun pihak SADA menyarankan supaya pengguna di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan sebahagian Pendang melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah," katanya.
Pengguna boleh menghubungi talian hotline SADA 1300-88-0017 atau e-mel di aduan@sada.com.my untuk sebarang aduan atau pertanyaan.
-- BERNAMA
#gangguan bekalan air #LRA Bukit Pinang #air keruh #LRA Pelubang
;