LPT3 dilaksana secara penswastaan menerusi kaedah RFP - Nanta

Bernama
Februari 22, 2023 06:30 MYT
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Terengganu ke Kelantan dilaksanakan secara penswastaan menerusi kaedah permintaan cadangan (RFP) secara tender terbuka.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek bermula dari Kampung Gemuroh ke Pengkalan Kubor sepanjang 151 kilometer itu diangkat untuk perhatian Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri bagi memulakan proses RFP.
"Proses RFP LPT3 akan dimulakan dengan penubuhan pasukan projek bagi mengenal pasti Penyata Kehendak sebelum diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.
Cadangan projek LPT3 ini dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya untuk anak-anak perantau balik ke kampung halaman di Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Nanta berkata kementerian berkenaan juga sedang menjalankan Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya kajian berkenaan merupakan kesinambungan daripada perancangan terdahulu iaitu HNDP Fasa 2 yang menjadi rujukan dari tahun 2010 sehingga 2025.
"Antara skop kajian HNDP 2040 adalah untuk mengkaji keperluan cadangan jalan sempadan antarabangsa dengan Indonesia dan Brunei. Kajian dijangka akan siap pada awal tahun 2025," katanya.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #LPT3 #RFP #tender terbuka
;