LPT 1, Jalan Kuantan-Segamat, dijangka sesak esok dan lusa

Astro Awani
Mei 6, 2022 21:06 MYT
Pengguna jalan raya dijangka akan memulakan perjalanan mereka mulai jam 4 petang untuk kembali ke arah Kuala Lumpur dan ke Selatan tanah air. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) dan Jalan Kuantan-Segamat dijangka akan mengalami kesesakan berikutan warga kota mula pulang selepas cuti Aidilfitri di kampung masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, peningkatan aliran trafik dijangka berlaku di Plaza Tol Kuantan dan Plaza Tol Gambang menuju ke Kuala Lumpur.
Katanya, pengguna jalan raya dijangka akan memulakan perjalanan mereka mulai jam 4 petang untuk kembali ke arah Kuala Lumpur dan ke Selatan tanah air.
"Kejadian kemuncak yang akan berlaku kesesakan jalan raya secara menyeluruh iaitu pada petang esok bermula daripada pukul 4 petang, iaitu perjalanan menuju ke pantai barat seperti Terengganu dan Kelantan dan begitu juga ke arah Selatan iaitu menuju ke Johor memandangkan mereka akan mula bekerja pada hari Ahad.
"Dan bagi mereka-mereka yang ke Kuala Lumpur dan sebagainya yang mana memulakan pekerjaan pada hari Isnin pula, akan berlaku kesesakan jalan raya pada hari berikutnya iaitu hari Ahad," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Op Selamat 18 di Hentian Rehat dan Rawat Gambang, Kuantan, Pahang.
Pada majlis itu, beliau turut menyantuni pengguna LPT dengan menasihatkan mereka agar berhati-hati di jalan raya dan selamat tiba ke destinasi masing-masing.
#Lebuhraya Pantai Timur 1 #LPT 1 #balik kampung #warga kota #pulang #cuti #Aidilfitri #Polis Daerah Kuantan #Plaza Tol Kuantan #Plaza Tol Gambang
;