LPPR yakin SPRM akan siasat pembelian hartanah MARA di Australia secara telus

Astro Awani
Jun 28, 2015 09:27 MYT
LPPR mempunyai keyakinan tinggi bahawa SPRM akan menjalankan siasatan berhubung isu pembelian hartanah oleh Mara Inc di Australia, dengan bebas dan telus.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mempunyai keyakinan tinggi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Australia dengan bebas, telus dan profesional.
LPPR berkata ini adalah kerana SPRM dari semasa ke semasa memaklumkan kemajuan kes-kes yang disiasat, khususnya kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam, apabila diminta berbuat demikian ketika mesyuarat bulanan badan itu.
“LPPR juga percaya tidak timbul isu SPRM cuba menutup mana-mana kes yang disiasat.
“Malah, tidak timbul sama sekali soal SPRM cuba ‘cover up’ kes ini seperti yang didakwa.
“Berdasarkan Akta SPRM 2009, SPRM hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak meletakkan kepercayaan ke atas sistem dan institusi pencegahan rasuah di negara ini,” kata badan itu dalam satu kenyataan media hari ini.
LPPR berkata demikian semasa merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang berkata tidak adil menuduh SPRM cuba menutup isu pembelian pangsapuri di Melbourne itu seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Memandangkan isu pembelian hartanah ini masih disiasat, maka LPPR berharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh. Jangan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan imej Suruhanjaya,” kata LPPR.
BACA: Polis Persekutuan Australia lancar serbuan bantu siasatan penipuan hartanah
BACA: PM Najib kecewa kenyataan pengerusi MARA diputar-belit
Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta SPRM menjelaskan sama ada benar atau tidak ia menerima maklumat mengenai pembelian hartanah itu tahun lalu, menyebabkan ia memulakan siasatan kira-kira enam bulan lalu.
Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya berkata pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne oleh anak syarikatnya, Mara Inc mematuhi tatacara perolehan yang di tetapkan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Annuar berkata Mara Inc juga telah mula disiasat oleh unit audit Mara dan SPRM sejak dua bulan lepas.
#Annuar Musa #LPPR #MARA #SPRM