LPPB diminta ambil tindakan tuntas selesai teguran Jabatan Audit Negara

Bernama
Februari 8, 2025 22:30 MYT
Masiung berkata tindakan serius wajar diambil segera bagi menambah baik isu teguran yang diberikan agar perkara itu tidak berulang dan menjadi barah dalam pentadbiran. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk Masiung Banah mengarahkan tadbir urus agensi itu supaya mengambil tindakan tuntas untuk menyelesaikan teguran Jabatan Audit Negara (JANM).
Beliau berkata tindakan serius wajar diambil segera bagi menambah baik isu teguran yang diberikan agar perkara itu tidak berulang dan menjadi barah dalam pentadbiran.
"Awal bulan lepas, LPPB mendapat teguran audit berhubung pengurusan aktiviti utama bagi 2024 yang kurang memuaskan ekoran kelewatan projek berkaitan kerjasama pihak ketiga.
"Saya menggesa agensi berkaitan terutama melibatkan elektrik dan tali air supaya mempercepat kelulusan untuk penyambungan ke kawasan projek perumahan yang telah siap dibina," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Masiung berkata tadbir urus agensi hartanah itu bukan sahaja menyelesaikan teguran audit, tetapi juga perlu memastikan semua projek perumahan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
"Saya meminta semua pegawai dan kakitangan mengekalkan hubungan kerja berpasukan bagi memastikan LPPB mengekalkan prestasi kewangan memberangsangkan menerusi aktiviti yang dilaksanakan.
"Saya mula menyertai LPPB pada 2020, prestasi kewangan agensi itu agak merudum, namun saya telah membuat pembaharuan tiga tahun kemudian sehingga LPPB memperoleh sumber keuntungan yang statik bagi membolehkan warga LPPB mendapat bonus tahunan," katanya.
-- BERNAMA
#LPPB #prestasi kewangan #sumber keuntungan #JANM
;