LPP pantau kesan cuaca panas terhadap sektor pertanian

Bernama
Mei 16, 2023 05:00 MYT
Dari segi penanaman padi, terdapat petani yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air. - Gambar hiasan
TANAH MERAH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang memantau segala aktiviti berkaitan sektor pertanian susulan cuaca panas yang melanda negara, walaupun setakat ini ia tidak memberi kesan ketara terutama terhadap tanaman sayur-sayuran.
Ketua Pengarahnya Datuk Azulita Salim berkata ini kerana musim kemarau masih baru dan kebanyakan penanam sayur menggunakan teknologi tertentu seperti fertigasi.
"Namun, dari segi penanaman padi terdapat petani yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Stesen Minyak Petron Pertubuhan Peladang Kawasan Chetok di sini semalam.
Azulita berkata pihaknya akan terus memantau situasi tersebut dari semasa ke semasa, selain mencari alternatif bagi menangani sebarang masalah sekiranya musim kemarau berpanjangan.
Menurutnya LPP juga sedang mengumpul data bagi mengenal pasti petani yang terjejas, selain membuat persediaan dengan mencari alternatif sumber air termasuk membina telaga tiub dan penggunaan pam air.
"Sekiranya musim kemarau berpanjangan, hasil tanaman akan berkurangan dan pihak kami akan berusaha sebaik mungkin untuk meminimumkan kesannya," katanya.
-- BERNAMA
#cuaca panas #petani #kemarau #bekalan air
;