LPP dan FAMA diarah lakukan intervensi segera atasi kekurangan sayur

Bernama
Februari 4, 2023 20:16 MYT
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata untuk jangka panjang, kementerian akan mewujudkan sistem data raya bagi mendapatkan maklumat dalam masa sebenar tentang situasi bekalan sayuran di negara ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diarah mengambil langkah intervensi segera bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan sayur di pasaran ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata untuk jangka panjang, kementerian akan mewujudkan sistem data raya bagi mendapatkan maklumat dalam masa sebenar tentang situasi bekalan sayuran di negara ini.
Katanya sistem itu bagi memantau jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan dan kos pengeluaran.
"Melalui sistem ini kementerian dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Saya bukanlah mahir dalam bidang IT (teknologi maklumat) tetapi jika saya boleh melihat 'dashboard' sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Beliau yakin ramai anak muda yang berkebolehan mampu menghasilkan sistem itu dan kementeriannya bersedia memberi dana yang sewajarnya bagi membangunkannya.
-- BERNAMA
#LPP #FAMA #kekurangan bekalan sayur #Mohamad Sabu
;