LPP cadang tarik pelaburan RM800 juta dari negara-negara Arab

Bernama
Disember 31, 2020 04:04 MYT
Dr Nik Zawawi berkata, rundingan mengenainya telahpun bermula Selasa lepas bersama wakil Raja Bahrain. - Bernama
PASIR PUTEH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bercadang untuk menarik pelaburan dari negara-negara Arab, melabur dalam bidang pertanian terutama industri ternakan ayam dengan sasaran modal peringkat awal bernilai RM800 juta.
Pengerusinya Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, rundingan mengenainya telahpun bermula Selasa lepas bersama wakil Raja Bahrain, yang mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan pelaburan selama 20 tahun.
"Mereka sangat berminat untuk melabur di negara ini termasuk dalam bidang pengeluaran makanan dan penetasan ayam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog dan Suai Kenal bersama Pengerusi Peladangnita Negeri Kelantan di pejabatnya di sini, pada Khamis.
Turut hadir Pengarah LPP Kelantan Mohd Hanifa Awang Su, Pengerusi Jemaah Pengarah LPP Kelantan Datuk Abdul Aziz Derashid dan lebih 50 peserta peladangnita dari seluruh negeri Kelantan.
Dr Nik Zawawi yang juga anggota Parlimen Pasir Puteh berkata, projek itu dijangka akan dapat menampung permintaan dan masalah kekurangan bekalan ayam, yang sering dihadapi pada musim-musim perayaan, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Selain itu, saya juga akan berusaha untuk membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mengeluarkan produk hiliran termasuk sos cili, tomato dan madu lebah, supaya dapat dipasarkan ke negara-negara Arab selain Bahrain, diikuti Mesir yang mempunyai penduduk 300 juta," katanya.
Beliau berkata madu lebah dari negara ini menarik minat mereka, kerana dikatakan kualitinya lebih baik dari madu keluaran di negara berkenaan.
Sementara itu, Abdul Aziz dalam ucapannya di majlis berkenaan berkata, larangan lintas sempadan antara Malaysia dan Thailand akibat ancaman COVID-19, telah memberi pendapatan lumayan kepada petani dan peladang di Kelantan.
Beliau berkata terdapat daripada golongan itu kini memperoleh pendapatan antara RM20,000 dan RM30,000 semusim, hasil daripada jualan tanaman seperti labu dan terung, yang sebelum ini terpaksa bersaing dengan produk yang sama dari negara jiran.
-- BERNAMA
#Lembaga Pertubuhan Peladang #Mesir #Arab #pelaburan #nik zawawi nik salleh
;