LPP ajak usahawan ceburi ternakan udang kara
Bernama
September 9, 2024 05:00 MYT
September 9, 2024 05:00 MYT
PENDANG: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyeru para usahawan terutama golongan muda berkecimpung dalam bidang ternakan udang kara air tawar yang kini mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar berkata bagi tujuan itu, LPP bersedia berkolaborasi dengan sebuah syarikat penternakan udang kara di Pendang bagi memberi latihan serta mengajar kaedah ternakan untuk dipraktikkan kepada mereka yang berminat.
"Saya bersama pengarah LPP mencari dalam kalangan usahawan di PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) yang berminat untuk diberikan pendedahan, mereka jalani kursus di sini bagi mendalami ilmu penternakan di ladang ternakan di Pendang.
"Potensi cukup besar, syarikat ini dapat hasil empat tan metrik sebulan (udang) sedangkan untuk eksport ke Singapura memerlukan 20 tan metrik, Hong Kong sebanyak mana pun boleh hantar, jadi terdapat pasaran yang bagus untuk usahawan kita.
"Mereka (syarikat) menyatakan bersedia melatih usahawan kita dari segi pemasaran, mereka juga akan beli balik udang ternakan bagi hasilkan produk untuk dieksport, saya harap anak muda dapat mengambil peluang ini sebaiknya bagi menambah pendapatan," katanya.
Mahfuz berkata demikian selepas melawat ladang ternakan udang kara air tawar milik Arbaah Sdn Bhd di Kampung Durian di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM1 bilion menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) untuk mengembangkan projek komuniti bagi meningkatkan ekonomi setempat.
"Jadi dengan projek ini ia dapat membantu membangunkan masyarakat dan menambahkan pendapatan dalam komuniti. Satu projek dalam komuniti diberikan hingga RM100,000. Saya harap ini juga boleh dimanfaatkan dalam projek ternakan udang kara ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Arbaah Sdn Bhd Muhammad Firdaus Osman berkata beliau bersedia berkongsi ilmu tentang penternakan udang kara air tawar ini sekiranya ada yang berminat.
Beliau berkata sejak mengusahakan ternakan itu tujuh tahun lepas permintaan terhadap udang kara dari ladangnya tidak mencukupi bagi menampung keperluan pasaran dalam dan luar negara.
"Memang tidak mencukupi, sebab itu kalau boleh saya mahu mengembangkan lagi. Walaupun masih baharu saya melihat potensi yang ada pada ternakan udang kara ini sangat besar dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat," katanya ketika ditemui di ladang ternakan seluas 4.6 hektar di sini.
Beliau berkata setakat ini terdapat sebuah kolam untuk penyelidikan, 15 kolam asuhan dan 37 kolam 'grower' bagi menghasilkan antara dua hingga empat tan metrik udang kara air tawar setiap bulan yang dipasarkan secara mentah atau perap.
-- BERNAMA