LPK ambil langkah tangani isu kesesakan di Pelabuhan Klang

Bernama
Januari 4, 2021 04:30 MYT
Chong berkata JKDM juga menambah jumlah kakitangannya untuk memudahkan urusan berkaitan serta menyediakan kaunter khas bagi memproses kontena reefer dan barangan mudah rosak. - Gambar fail
SHAH ALAM: Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi isu kesesakan kontena dan kapal di Pelabuhan Klang yang berlaku sejak November lepas.
Pengerusi LPK Datuk Chong Sin Woon berkata beberapa langkah itu diputuskan dalam mesyuarat antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), persatuan peruncit dan pemain industri dengan dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 28 Disember lepas.
"Antara langkah itu adalah Westports mewujudkan ruang tambahan simpanan kontena termasuk kontena kargo sejuk (reefer) dengan kemudahan bekalan elektrik sejak 28 Disember lepas; pihak penerima (consignee) diarah mempercepatkan proses pengambilan kontena iaitu dalam tempoh 24 jam selepas 'gate pass' dikeluarkan supaya lebih banyak kontena berstatus menunggu boleh diperiksa serta penarikan balik tempoh tambahan percuma untuk penyimpanan kontena (additional free storage time) berkuat kuasa 1 Januari lepas.
"Selain itu, caj 'sales of special services' (SSR) turut dikecualikan sekiranya kontena kosong untuk dieksport yang berada di yad pelabuhan ditukar status untuk kegunaan tempatan bagi mengurangkan lambakan kontena," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Chong berkata JKDM juga menambah jumlah kakitangannya untuk memudahkan urusan berkaitan serta menyediakan kaunter khas bagi memproses kontena reefer dan barangan mudah rosak, manakala MAQIS turut menambah jumlah anggotanya bagi mempercepatkan pemeriksaan.
LPK mencapai kata sepakat dengan syarikat perkapalan untuk memastikan kapal-kapal terus singgah di Pelabuhan Klang dengan menyediakan slot secukupnya bagi kontena eksport dari pelabuhan itu serta mengatur perkhidmatan 'main line' atau 'feeder' bagi membawa keluar kontena pindah kapal (transhipment) yang disimpan lama di yad, katanya.
Menurut Chong, pihaknya yakin hasil kerjasama melibatkan pemegang taruh dan agensi kerajaan, masalah kesesakan di Pelabuhan Klang mampu diselesaikan pada pertengahan bulan ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Pelabuhan Klang mencatatkan penurunan pengendalian kontena sebanyak 2.5 peratus atau 13.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) tahun lepas berbanding 13.5 juta TEU pada 2019.
Penurunan tersebut disebabkan pandemik COVID-19, permintaan perdagangan yang lemah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan pintu sempadan negara.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kontena import mencatatkan pertumbuhan 0.4 peratus atau sebanyak 2.55 juta TEU tahun lepas berbanding 2.54 juta TEU pada tahun 2019.
"Jumlah pengendalian kontena eksport juga mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus atau 2.56 juta TEU tahun lepas berbanding 2.48 juta TEU pada 2019.
"Dari segi pengendalian pindah kapal pula, Pelabuhan Klang mengendalikan 8.11 juta TEU iaitu menurun lima peratus tahun lepas berbanding 8.54 juta pada 2019," katanya.
Bagi tahun ini, LPK mensasarkan Pelabuhan Klang mengendalikan 13.5 juta TEU dengan potensi peningkatan 2.3 peratus dalam jumlah pengendalian kontena susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi hasil pergerakan aktiviti eksport berterusan serta peningkatan momentum dalam penggunaan dan pelaburan.
-- BERNAMA
#LPK #Lembaga Pelabuhan Klang #Chong Sin Woon #JKDM #maqis #kontena #eksport #kesesakan #kapal #ruang tambahan
;