'Love Scam': Wanita dakwa ditipu 'Abdan' hampir RM7,000

Astro Awani
Mei 25, 2015 11:32 MYT
Seorang wanita berkomunikasi bersama 'Derry Johnstone' (kiri) dan 'Abdan'. -Gambar: romancescamkl.blogspot.com
Love Scams’ bukanlah satu fenomena baharu.
Walaupun internet merupakan antara medium untuk menambah kenalan – sebagai sahabat ataupun kekasih - namun pengguna internet harus bijak dan berjaga-jaga.
Sebagai contoh, laman mencari cinta, atau dating websites, mungkin memudahkan proses mencari pasangan hidup, namun adakah orang kita kenali menggunakan identiti yang sebenar? Atau terdapat identiti yang berbeza di sebalik gambar kacak atau cantik yang digunakan?
Walaupun pelbagai amaran dan kesedaran tentang penipuan dalam talian telah dikeluarkan, mengapa masih ada yang menjadi mangsa?
Mencari ‘Abdan’
Terbaharu, seorang wanita – dikenali sebagai ‘Scamvic KL’ - kehilangan hampir RM7,000 setelah membantu seorang rakan lelaki yang dikenalinya di internet.
Kisah yang didedahkan di laman web romancescamkl.blogspot.com ini antaranya menyebut bahawa lelaki berkenaan yang menggunakan nama ‘Derry Johnstone’ ialah seorang jejaka kacukan Scotland-Serbia yang kononnya berada di Malaysia atas urusan perniagaan.
BACA: Sindiket love scam: 1,750 mangsa ditipu, rugi RM68 juta
BACA: Sindiket 'African Scam' catatkan kerugian sehingga RM33.6 juta tahun lalu
“Suaranya memang seperti orang putih dan bukan orang Afrika yang memang terkenal dengan penipuan romantik. Selama satu bulan kami berbual, perbualannya seperti biasa seperti apa kerja yang dia lakukan pada hari itu, apa harapan dia.
"Dia juga menceritakan tentang bagaimana susahnya untuk dia mencari kawan dan juga teman wanita yang sesuai untuknya,” kata wanita itu.
Setelah sebulan mengenali antara satu sama lain, Derry mendakwa dirinya berada di Miri atas urusan perniagaan barangan antik.
Derry memaklumkan bahawa kononnya dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar kos penghantaran sebanyak RM36,000.
Derry kemudian meminta Scamvic KL untuk bercakap di telefon bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Aishah yang dikatakan bekerja di syarikat penghantaran itu.
"Semasa berbual dengannya, saya dengar bunyi telefon di latar belakang yang membuatkan saya yakin bahawa ini memang perniagaan sebenar," katanya.
Wanita berkenaan kemudian melakukan dua transaksi berjumlah hampir RM7,000 ke akaun bank menggunakan nama ‘Abdan’ yang didakwa sebagai pemandu kepada syarikat penghantaran itu.
Setelah meminta wang lagi, wanita itu mengesyaki sesuatu. Apabila beliau meminta bukti daripada Derry, jejaka berkenaan terus bersikap dingin dan menganggap wanita itu “tidak mempercayainya” lagi.
Derry juga tidak membalas mesej wanita itu lagi.
"Ini menyebabkan dia menjadi marah dan cuba membuat saya berasa bersalah, tetapi saya tidak terpengaruh lagi," kongsi wanita itu.
Wanita itu kemudian cuba menjejaki ‘Abdan’. Setelah berkongsi gambar dan maklumat ‘Abdan’ di blognya, wanita berkenaan mendakwa beliau dihubungi oleh anak ‘Abdan’ yang menafikan bapanya terlibat dalam penipuan itu.
Namun, 'Abdan' menghubungi mangsa dan berkata beliau sendiri mangsa penipuan dan berkongsi pelbagai kisah sama.
Seakan sukar untuk mempercayai kata-kata lelaki berkenaan, Scamvic KL menyeru orang ramai menghubungi beliau jika mempunyai sebarang maklumat tentang siapa sebenarnya ‘Abdan.’
Kes terdahulu mangsa-mangsa ‘Love Scams’
Tahun lepas, seorang usahawan wanita ditipu RM250,000 oleh seorang warga asing yang dikenali di Facebook dan seorang wanita yang mendakwa dirinya bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Mangsa memasukkan duit secara berperingkat ke dalam akaun milik individu yang berbeza.
Setelah didesak untuk memasukkan lebih banyak wang, wanita berkenaan bertindak untuk melaporkannya kepada pihak polis.
Pada Januari 2013 sehingga Ogos 2014, seramai 1,750 individu dilapor menjadi mangsa sindiket penipuan Internet atau 'love scam' yang membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM68 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,205 mangsa adalah wanita manakala bakinya ialah lelaki (545 orang).
"Berdasarkan laporan yang diterima polis, sejumlah 1,095 mangsa pada tahun lepas mencatatkan jumlah kerugian RM35.6 juta manakala setakat Ogos 2014, sejumlah 655 individu menjadi mangsa dengan jumlah kerugian lebih RM32 juta," katanya.
Tambahnya, walaupun jumlah mangsa menurun, nilai kerugian mencatat peningkatan dan ini amat membimbangkan terutama kepada golongan wanita, katanya.
Pengguna internet perlu berwaspada
Laman web Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) menyeru orang ramai untuk mematuhi amalan dan etika yang terbaik apabila mereka melayari laman sosial.
Katanya, pengguna internet perlu berhati-hati dengan rakan-rakan yang dikenali di internet dan tidak memenuhi apa-apa permintaan yang tidak munasabah.
“Pengguna perlu sedar bahawa apa sahaja yang lakukan di internet, termasuk panggilan video dan suara, boleh dirakam dan dimanipulasi untuk tujuan jahat,” kongsi laman web itu.
Orang ramai juga boleh membuat aduan menerusi laman web mereka iaitu www.mycert.org.my atau emel cyber999@cybersecurity.my atau mycert@mycert.org.my. 
#cyber security #Internet #Love scams #MyCERT #penipuan atas talian
;