Lorong kiri Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh ditutup, pengguna dinasihat berhati-hati
Abd Razak Mohd Ali
Februari 4, 2023 15:48 MYT
Februari 4, 2023 15:48 MYT
IPOH: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa lorong kiri Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh akan ditutup secara berperingkat bagi kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan.
Menurut jurucakap PLUS, penutupan lorong kiri di terowong terbabit ialah dari Kilometer 260.3 hingga Kilometer 262.05 arah selatan.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang menggunakan Terowong Meru di laluan berkenaan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka.
“Ia dilaksanakan secara berperingkat mulai 7 Februari (Selasa) hingga 16 Februari (Khamis) 2023, antara jam 9 malam hingga 12 tengah hari setiap hari sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, sepanjang tempoh tersebut, laluan kontra akan diaktifkan secara berkala sekiranya perlu, bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.
Justeru itu, katanya, pengguna yang menghala ke selatan/Ipoh/Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.
Tambahnya, mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.
Dalam masa sama, katanya, pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.