Lorong kanan Senai Utara-Kulai ditutup mulai 12 tengah malam ini sehingga Jan 2022 - PLUS

Bernama
September 19, 2021 12:25 MYT
Pengguna lebuh raya dinasihat mematuhi semua papan tanda trafik dan had laju 60 km/j serta arahan yang dikeluarkan kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.
KUALA LUMPUR: Lorong kanan di antara Senai Utara ke Kulai, Johor di kilometer (KM) 24.65 hingga KM27.25 (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup selama tiga bulan setengah kepada semua kenderaan mulai 12 tengah malam ini (20 Sept).
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan lorong berkenaan sehingga 12 tengah malam 1 Jan 2022 adalah bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf tembok penghadang konkrit dilaksanakan dengan lancar.
"Sepanjang tempoh tersebut, trafik di laluan terbabit akan dilencongkan ke lorong kiri dan lorong kecemasan bagi mengekalkan laluan dua lorong pada setiap masa.
"Dalam masa sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik dan had laju 60 km/j serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit," menurut kenyataan itu.
PLUS turut menasihatkan pengguna yang menghala ke utara supaya merancang perjalanan dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan.
Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang kecemasan (SOS) pada aplikasi tersebut sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
-- BERNAMA
#rancang perjalanan #lorong ditutup #Lebuhraya Utara-Selatan #kerja menaik taraf #tembok penghadang konkrit
;