Lorong bas Jalan Klang Lama: Pengguna jalan raya diharap beri maklum balas membina - Exco

Bernama
Ogos 11, 2024 05:00 MYT
Ng berkata penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan jejak karbon, sekali gus meningkatkan tahap daya huni di Selangor dan Lembah Klang. - Foto fail/Sinar Harian
SHAH ALAM: Pengguna jalan raya di laluan projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama, di sini diharap dapat bekerjasama dan memberi maklum balas membina sepanjang tempoh percubaan perkhidmatan itu yang bermula 15 Ogos ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobliti Selangor Ng Sze Han berkata usaha itu, bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri di bawah cadangan enakmen pentadbiran Lembah Klang Raya untuk mempercepatkan transisi penggunaan pengangkutan awam di Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.
Beliau berkata penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan jejak karbon, sekali gus meningkatkan tahap daya huni di Selangor dan Lembah Klang.
"Menyedari keberjayaan projek laluan bas di koridor Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang dengan peningkatan penumpang sebanyak 27 peratus dan 42 peratus sejak tahun lepas, kerajaan negeri percaya laluan koridor ketiga ini juga akan menghasilkan impak positif dan berjaya mencapai sasaran yang dihasratkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Ng berkata laluan koridor ketiga itu melibatkan bermula dari Jalan Puchong ke Jalan Klang Lama, berhampiran Jalan Halimahton.
Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara turut meluahkan keyakinan perkhidmatan itu dapat memanfaatkan penduduk sekitar kawasan Kinrara khususnya Taman Kinrara, Bandar Kinrara dan Bandar Puchong Jaya, selain melengkapkan jaringan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada.
"Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha pemerkasaan pengangkutan awam seperti inisiatif lorong bas dan komited untuk memudah cara laluan-laluan bas di koridor yang mempunyai sambungan ke negeri Selangor seperti di Jalan Puchong dan Jalan Ampang," katanya.
Sebelum ini, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, memaklumkan akan melancarkan projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 15 Ogos ini.
-- BERNAMA
#Jalan Genting Klang #MRT #Rapid KL #pengangkutan awam
;