Lori terbakar, pemandu sempat terjun selamatkan diri

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 11, 2021 00:14 MYT
Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori yang dipandunya tiba-tiba terbakar dan meletup di Jalan Felda Teloi Timur, pada Isnin. - Foto ihsan bomba
SIK: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori yang dipandunya tiba-tiba terbakar dan meletup di Jalan Felda Teloi Timur, pada Isnin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam mangsa Mohd Nasrul Azizi Puteh, 34, sedang dalam perjalanan pulang dari Kuala Ketil selepas mengambil lori berkenaan dari bengkel.
Sebaik tiba di lokasi, Mohd Nasrul terlihat percikan api di sebelah kiri tayar hadapan lori lalu memberhentikan lori berkenaan di bahu jalan.
Sebaik turun dari lori, api telah mula marak, dan kemudiannya berlaku letupan kuat yang boleh didengari penduduk kampung.
"Nasib baik saya sempat terjun dari lori kalau tidak tidak tahu lah apa nasib saya,” ujarnya ketika dihubungi.
Sementara itu menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata api berjaya dipadam pasukan Bomba dan Penyelamat Sik sambil dibantu Bomba Sukarelawan Jariah Malaysia.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya 10 minit kemudian dan bahagian hadapan lori hangus terbakar,” katanya.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
#pemandu lori #lori terbakar #Jalan Felda Teloi Timur #Mohd Nasrul Azizi Puteh #Bomba Sukarelawan Jariah Malaysia
;