Lori terbakar berhampiran Terowong Menora, trafik sesak arah utara

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 15, 2024 05:10 MYT
Sebuah lori 12 tan jenis Hino yang membawa muatan bakul buah-buahan terbakar di KM260.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Kuala Kangsar, petang semalam. - Foto JBPM Perak
KUALA KANGSAR: Sebuah treler terbakar di Kilometer 260.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, petang semalam, menyebabkan trafik sesak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 6.42 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah lori 12 tan jenis Hino yang membawa muatan bakul buah-buahan sedang terbakar 35 peratus dan tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, anggota bomba membuat size-up serta mengaplikasikan konsep RECEO seterusnya membuat pemadaman menggunakan dua aliran dan dua pancutan dengan semburan buih sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (TBK) Mohd Saiful Haniff Mahmad Ayub tamat jam 10.26 malam.
Sementara itu, PLUS menerusi platform X memaklumkan kemalangan menyebabkan lorong kanan terhalang dan keadaan trafik sesak.
#lori terbakar #Lebuhraya Utara Selatan #JBPM Perak #Kuala Kangsar
;