Lori terbabas, empat tong asid nitrik tumpah di atas jalan raya
Bernama
November 16, 2018 17:53 MYT
November 16, 2018 17:53 MYT
Sebuah lori yang membawa muatan enam tong asid nitrik terbabas menyebabkan empat tong bahan kimia itu terjatuh dan bocor serta tumpah di atas jalan raya dalam kemalangan di Jalan Bukit Pelandok-Tanah Merah dekat sini, tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata insiden berlaku apabila pemandu lori yang sedang dalam perjalanan menghala ke arah Port Dickson pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dikatakan gagal mengawal kenderaannya di satu selekoh sebelum ia terbabas.
Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson serta pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.
"Pemeriksaan mendapati bahan kimia yang dibawa lori berkenaan tumpah di atas jalan raya dan kita sedang kawal supaya tumpahan bahan kimia itu tidak masuk ke dalam longkang.
"Seterusnya kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sedang giat dijalankan oleh anggota HAZMAT dengan bantuan anggota BBP Port Dickson," katanya ketika dihubungi Bernama.
Norazam berkata pihaknya memerlukan tempoh masa yang lama bagi memastikan kawasan tumpahan itu bebas dan selamat daripada bahan kimia berkenaan.
"Kita juga sedang menunggu pihak syarikat berkaitan untuk turut membantu membersihkan tumpahan itu. Selain itu, kita juga sedang menunggu ketibaan Jabatan Alam Sekitar di lokasi untuk tindakan selanjutnya," katanya.
#asid nitrik
#bahan kimia
#Bukit Pelandok
#Hazmat
#Jabatan Alam Sekitar
#Negeri Sembilan
#Norazam Khamis
#Port Dickson
#Seremban