Lori tangki muatan minyak sawit terbakar di lebuh raya ELITE

Bernama
Oktober 12, 2024 06:00 MYT
Semalam, tular video berdurasi 20 saat menerusi media sosial memaparkan sebuah lori tangki minyak terbabas memasuki laluan bertentangan di lebuh raya dan terbakar. - Foto Lembaga Lebuhraya Malaysia
NILAI: Sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit terbakar sebelum memasuki laluan bertentangan hingga menjejaskan tiga kenderaan lain di KM44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah Utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan pada 12 tengah hari itu berlaku apabila lori tangki dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 53 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Beliau berkata disebabkan itu, lori tangki yang dalam perjalanan dari Jasin, Melaka ke Klang, Selangor telah terlanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang dipandu di lorong kanan dan menyebabkan kereta itu berpusing serta melintang di tengah lebuh raya.
"Selepas itu, lori tangki itu melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan sehingga memasuki laluan arah bertentangan dan berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan terbakar.
"Kemalangan menyebabkan serpihan kenderaan berterabur di atas lebuh raya dan menyebabkan dua lagi kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Bezza dan Mazda CX3 yang dari arah bertentangan terlanggar serpihan tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata pemandu Proton Saga iaitu wanita berumur 21 tahun cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban manakala kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular video berdurasi 20 saat menerusi media sosial memaparkan sebuah lori tangki minyak terbabas memasuki laluan bertentangan di lebuh raya dan terbakar, yang turut membabitkan tiga kenderaan lain.
-- BERNAMA
#lori tangki minyak sawit #Lebuh Raya Elite #Proton Saga #lori terbakar
;