Lori tangki muatan diesel terbakar

Sinar Harian
Oktober 19, 2021 08:15 MYT
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran pada lori tangki tersebut di KM 135.8 di LPT 1, pada Isnin. -Foto ihsan bomba
Sebuah lori tangki muatan diesel terbakar menyebabkan kebocoran bahan api itu di Kilometer 135.8 dekat Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 arah Barat, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.58 petang.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari BBP Temerloh dan dua lagi dari BBP Bukit Angin dengan sebuah jentera pemadam, ambulan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta tangki air terlibat dalam operasi tersebut.
"Dua aliran salur bantu digunakan untuk memadam dan mengawal kebakaran serta satu aliran gelung dari pam bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, jentera juga mengambil bekalan air dari pili bomba di hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum tangki air dari Bukit Angin tiba.
Beliau memberitahu, kemusnahan melibatkan 80 peratus dan operasi tamat pada jam 4.52 petang.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #lori tangki muatan diesel #lori terbakar #LPT1
;