Lori tangki minyak terbalik, beratus liter minyak tumpah
Bernama
April 2, 2013 19:04 MYT
April 2, 2013 19:04 MYT
Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak petrol dan diesel dari Port Dickson terbabas dan terbalik ketika memasuki plaza tol Port Dickson-Seremban di sini, hari ini.
Bagaimanapun, pemandunya yang berusia 40-an selamat. Pemandu lori terbabit yang cedera dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu, pemandu lori tangki itu dipercayai gagal mengawal lorinya ketika membelok ke arah plaza tol lalu terbabas dan terbalik.
"Kejadian itu berlaku ketika lori tangki itu dalam perjalanan dari arah Port Dickson menuju ke Kuala Lumpur. Kejadian itu juga mengakibatkan sebahagian minyak petrol dan diesel yang dibawa lori berkenaan tumpah di jalan raya.
"Ini menyebabkan plaza tol berkenaan terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan oleh pasukan bomba.
"Ketika kejadian, lori tangki itu membawa 10,000 liter petrol Ron95 dan 12,600 liter diesel," katanya di sini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Zulkefly Ahmad berkata sebanyak empat buah jentera termasuk satu pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu kerja-kerja pembersihan.
"Daripada siasatan awal, kita dapati ada bahagian tangki daripada kenderaan ini telah bocor menyebabkan beratus-ratus liter minyak petrol dan diesel telah tumpah ke jalan raya.
"Kita mengambil tindakan dengan menyembur buih bagi mengawal tumpahan petrol dan diesel ini dari terbakar," jelasnya.
Katanya, wakil daripada syarikat minyak terbabit akan datang untuk memindahkan baki minyak ke dalam lori tangki lain.