Lori tangki bawa petrol terbabas, terjunam ke dalam gaung
Mirlen Axtius
Ogos 25, 2022 11:50 MYT
Ogos 25, 2022 11:50 MYT
KOTA KINABALU: Sebuah lori tangki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 20 kaki dalam kejadian di Kampung Manggaris 1, Kota Marudu, Sabah malam tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (PBB) Kota Marudu berkata, lori seberat 10 tan yang membawa muatan minyak petrol itu dipercayai terbabas sendiri.
"Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan minyak petrol terbabas sendiri lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki.
"Terdapat seorang mangsa terlibat dalam kemalangan itu dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Mangsa, Ilus Patrick, 45, ditemui dalam keadaan selamat.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak membuka bateri kepala lori tersebut sebelum memasang sawar sementara menunggu bantuan lori dari Kota Belud untuk menyedut minyak.
Operasi tamat pada jam 8.18 malam.