Lori tangki bawa metanol bocor di lebuh raya

Aida Aziz
Mac 6, 2024 05:15 MYT
Lori akan dialihkan ke kawasan Rehat dan Rawat Tapah bagi memudahkan pemindahan bahan kimia peringkat akhir dan melancarkan aliran lalu lintas PLUS arah utara. - Foto JBPM Perak
TAPAH: Sebuah lori tangki yang membawa metanol (UN 1230) mengalami kebocoran di bahagian bawah tangki di susur keluar ke Tapah dekat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Rabu.
Susulan insiden itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu Bidor dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Pasir Puteh, diatur gerak ke lokasi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.52 petang.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah lori tangki membawa metanol (UN 1230) mengalami kebocoran pada bahagian bawah tangki lori tersebut.
"Pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas lori tersebut telah menghantar dua buah lori tangki untuk membuat pemindahan bahan," katanya malam tadi.
Sabarodzi berkata, pihaknya telah melaksanakan penyejukan pada bahagian tangki lori menggunakan satu aliran hos dari pam jentera bomba sebelum Hazmat sampai di lokasi.
"Proses pemindahan bahan kimia disahkan selamat dan dilakukan secara manual tanpa menggunakan pam.
"Semburan air pada bahagian yang bocor masih tetap dijalankan dan proses pemindahan peringkat pertama sedang dilakukan.
"Lori tersebut akan dialihkan ke kawasan Rehat dan Rawat Tapah bagi memudahkan pemindahan peringkat akhir. Ia bagi melancarkan aliran lalu lintas ke utara," tambahnya.
#lori tangki #kebocoran #Lebuhraya Utara Selatan #pemindahan bahan kimia
;