Lori sarat dengan pekerja asing bergelang 'pink' ditahan polis

Adie Sufian Zulkefli
Jun 13, 2021 22:33 MYT
Polis menahan sebuah lori yang membawa sekumpulan pekerja warga asing memakai gelang kuarantin di Sungai Petani pada Ahad. - Foto ihsan polis/media sosial
SUNGAI PETANI: Polis menahan sebuah lori yang membawa sekumpulan pekerja warga asing memakai gelang kuarantin di Sungai Petani pada Ahad, selepas video dan gambar insiden berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lori itu ditahan ketika ia sedang membawa kumpulan tersebut dari sebuah kilang ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda kira-kira jam 5 petang tadi.
Kesemua mereka dipercayai daripada sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong.
“Polis mengambil tindakan selepas mendapat video dan gambar yang ditular melalui media sosial mengundang kemarahan warganet yang tidak berpuas hati berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 daerah ini.
“Video dan gambar berkenaan menunjukkan beberapa individu yang berada dalam lori berkenaan dengan memakai gelang kuarantin merah jambu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adzli berkata, berikutan itu, sepasukan anggota polis bertindak menahan lori dan pekerja-pekerja asing terbabit.
Katanya, hasil siasatan mendapati, majikan kilang telah mengatur sebuah lori untuk membawa seramai 135 pekerja kilang ke PKD dengan tiga kali perjalanan, untuk dilakukan ujian calitan.
“Seramai 48 orang pekerja kilang yang berada dalam lori itu dikesan positif dengan keadaan tangan bergelang kuarantin.
"Pemandu lori itu kemudian disaman kerana kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain,” katanya.
Selain itu Adzli memaklumkan, kertas siasatan turut dibuka terhadap majikan kilang tersebut mengikut Seksyen 22(a) Akta 342 (Kesalahan secara am tidak mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa).
#Lori #pekerja asing #Gelang kuarantin #gelang pink #Gelang merah jambu #Sungai Petani #Polis Daerah Kuala Muda #PKD #kes positif #COVID-19 #kilang pemprosesan ayam #Sungai Lalang
;