"Lori 'sapu' semua kereta, mayat kanak-kanak bergelimpangan" - Saksi

Nazialita Geynna Maharan
Disember 10, 2017 19:13 MYT
Pakaian dan barang-barang berterabur berikutan kemalangan lori treler dengan tiga kenderaan di Lenggong pagi Ahad. - Astro AWANI
"Lori 'sapu' semua kereta di jalan, pakaian dan mayat bergelimpangan."
Itu merupakan pengalaman tragis seorang saksi kemalangan yang dikenali sebagai Syahira, 26, dalam kejadian ngeri yang mengorbankan tiga beradik berhampiran MRSM Lenggong pada pagi Ahad.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, dia tidak dapat menahan sebak melihat pakaian bertaburan di atas jalan raya disebabkan kemalangan itu.
Menurutnya, lebih meruntun hatinya apabila melihat sekujur tubuh kanak-kanak terbaring kaku di atas jalan raya berhampiran kereta keluarganya yang remuk.
BACA: Kanak-kanak kembar antara tiga beradik terkorban
BACA: 'Anak-anak dah jadi ahli syurga' - Ibu mangsa
"Kami tak boleh buat apa, saya cuma bantu beri payung pada seorang lelaki di situ untuk payungkan jenazah. Sebaknya hati saya, hanya Tuhan saja yang tahu, hampir menitis air mata.
"Saya sampai di situ kira-kira 10 minit selepas kejadian, memang keadaan sangat berterabur. Lori itu 'sapu' semua kereta yang berhenti di lampu isyarat, ada kereta yang tercampak dalam longkang juga," katanya.
Tambahnya, seorang lelaki di situ memberitahu lori treler itu dipandu laju dan dilihat memotong beberapa kenderaan sebelum terlibat dalam kemalangan meragut tiga nyawa itu.
"Kalau tengok pada gaya pemandu lori itu, dia memang kelihatan seperti memandu laju, tapi saya tak berani cakap, yang saya pasti, memang ramai akan marahkan pemandu lori itu.
"Katanya brek dan klac lori rosak, itu yang tak sempat brek. Sebenarnya, saya tertinggal barang di rumah sebelum bergerak ke sini dan lewat kira-kira 10 minit sebelum mula bertolak.
"Kalau saya bertolak mengikut jadual dan tiada barang tertinggal, mungkin sayalah yang menjadi mangsa, bukan mereka. Ajal maut semuanya di tangan Tuhan," katanya.
Dalam kemalangan ngeri itu, enam beranak yang sedang dalam perjalanan dari Terengganu dalam kenderaan Honda dirempuh oleh sebuah lori muatan ikan dan menyebabkan tiga beradik termasuk sepasang kembar meninggal dunia di lokasi kejadian.
BACA: Tiga maut dirempuh lori ikan
Sementara itu, ibubapa mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Insiden berkenaan turut melibatkan tiga lagi kenderaan manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa mengesahkan pemandu lori berusia 24 tahun itu telah dipanggil bagi siasatan.
"Kita akan mengambil kenyataan pemandu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
#kemalangan #kemalangan maut #kembar #Lenggong
;