Lori rempuh treler, pemandu dan kelindan maut

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 24, 2022 10:30 MYT
Pemandu dan kelindan lori tersepit di tempat duduk masing-masing dan dikeluarkan anggota Bomba menggunakan peralatan khas. - Foto ihsan JBPM
PERAI: Seorang pemandu lori dan kelindan maut apabila kenderaan yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah treler dalam nahas di kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang, dari arah Perai menghala ke Pulau, awal pagi Isnin.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fazrol Maarof, 39, yang merupakan pemandu lori, dan kelindan, Muhammad Amirrudin Azizan, 19.
Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian hadapan lori.
Manakala seorang lagi mangsa iaitu pemandu treler berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pegawai Kanan Bomba II, Fairol Mahazi Malek dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah lori tiga tan yang membawa muatan serai telah terlanggar belakang sebuah treler.
“Terdapat dua mangsa lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori tersepit di tempat duduk masing-masing dan dikeluarkan oleh anggota Bomba menggunakan peralatan khas. Mangsa pertama telah berjaya dikeluarkan pada jam 5.55 pagi manakala mangsa kedua berjaya dikeluarkan pada jam 6.02 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Kedua-dua mangsa yang tersepit mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada dilokasi kejadian.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Kemalangan tersebut menyebabkan pengguna Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan yang teruk di atas jambatan serta jalan susur masuk ke jambatan.
Difahamkan, kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Sungai Dua menghala susur masuk Jambatan Pulau Pinang.
#Nahas #pemandu lori #treler #kelindan
;