Lori rempuh 11 kenderaan: Dua penunggang motosikal disahkan maut

Sinar Harian
September 20, 2023 15:23 MYT
Keadaan kemalangan melibatkan pelanggaran sebuah lori dengan beberapa kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong hari ini. -Bernama
PUTRAJAYA: Dua penunggang motosikal disahkan maut dalam nahas melibatkan 12 buah kenderaan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.14 pagi ketika kedua-dua mangsa bersama 11 lagi kenderaan lain berhenti untuk memberi laluan untuk konvoi anggota trafik Le Tour de Langkawi (LTdL) di lokasi kejadian.
BACA: Dua maut, lori rempuh 11 kenderaan di Putrajaya
"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang maut merupakan lelaki warga tempatan berumur 25 dan 39 tahun dan mayat mereka dibawa ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Bilangan mangsa lain yang mengalami kecederaan masih dalam siasatan dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut," katanya pada Rabu.
Katanya, polis turut menahan pemandu lori terlibat yang merempuh 11 kenderaan lain di lokasi kejadian.
"Salah sebuah motosikal pengiring turut mengalami kerosakan teruk selain enam buah kereta, tiga motosikal dan dua buah lori.
"Anggota polis trafik yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Kalau dilihat dari kejadian, lori ini sebenarnya sempat untuk mengelakkan dari berlakunya kemalangan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ada faktor kecuaian atau teknikal yang mengakibatkan berlakunya rempuhan.
"Suspek yang ditahan merupakan lelaki tempatan berumur 35 tahun dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan," katanya.
Pada Rabu, sebuah lori merempuh 11 buah kenderaan termasuk sebuah motosikal pengiring polis dalam nahas mengakibatkan dua individu maut di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara di sini. -Sinar Harian
#penunggang motosikal #Jalan Persiaran Utara #konvoi anggota trafik #LTdL #treler rempuh 11 kenderaan
;