Lori paip, lori papan bertembung, seorang pemandu maut
Norfarhiza Mohd Atar
Mei 26, 2023 09:15 MYT
Mei 26, 2023 09:15 MYT
KUANTAN: Seorang lelaki maut manalala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Kuantan-Segamat dekat Bandar Muadzam Shah pagi tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menerusi panggilan jam 5.16 pagi.
Sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kemalangan dengan menaiki dua jentera.
"Ketika sampai di tempat kejadian, bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua buah lori masing-masing membawa muatan papan dan paip.
"Dalam kejadian itu, seorang lelaki dewasa yang juga pemandu lori papan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan alatan menyelamat khas sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.