Lori muatan ikan masin dan sayur terbakar di PLUS, trafik sesak 5km
Aida Aziz
Januari 5, 2020 23:13 MYT
Januari 5, 2020 23:13 MYT
Sebuah lori 3 tan membawa muatan ikan masin dan sayur-sayuran musnah terbakar 60 peratus di Kilometer 230.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar pada Ahad.
Menerusi laporan Twitter dari PLUS Trafik, kebakaran itu juga mengakibatkan kesesakan sepanjang 5.5 kilometer ekoran lorong kiri ditutup bagi kerja-kerja pemadaman api.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan dari Taiping bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada jam 8 malam.
"Kebakaran melibatkan sebuah lori 3 tan yang membawa ikan masin dan sayur-sayuran... Kebakaran itu tidak melibatkan mangsa.
"Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera serta dibantu anggota dan jentera dari BBP Taiping," katanya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Jalil Am dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 9.36 malam.