Lori muatan besi terbakar, trafik di PLUS sesak 8km

Amirrul Rabbani
Februari 9, 2023 13:48 MYT
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.13 pagi.- Foto JBPM Perak
KUALA KANGSAR: Sebuah lori dengan muatan besi campuran terbakar di kilometer (km) 253.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.13 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, dibantu BBP Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api.
“Kebakaran melibatkan sebuah lori treler dengan muatan besi campuran yang mana bahagian hadapan lori telah musnah 70 peratus. Walau bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran air dari jentera pemadam api (FRT) sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Katanya lagi, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Rosli Alang Ahmed itu tamat kira-kira pada jam 10.48 pagi.
Sementara itu laman Twitter Plustrafik memaklumkan kejadian itu telah mengakibatkan kesesakan trafik kira-kira 8 km susulan lorong kiri jalan masih terhalang bagi kerja-kerja pembersihan.
#lori terbakar #Kuala Kangsar #Lebuhraya Utara Selatan #bomba perak
;