Lori kontena halang lalu lintas di Padang Besar, penduduk bimbang
Bernama
Februari 19, 2022 11:04 MYT
Februari 19, 2022 11:04 MYT
PADANG BESAR: Sikap segelintir pemandu lori kontena dari negara jiran yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya ketika menunggu giliran untuk masuk ke Thailand di pintu sempadan menerusi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar di sini, menimbul kebimbangan bukan sahaja kepada pengguna jalan raya lain, malah penduduk setempat.
Baru-baru ini tular di media sosial orang ramai mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera mengatasi masalah tersebut yang dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Tinjauan Bernama mendapati hampir 100 lori kontena menunggu giliran bermula jam 3 petang setiap hari untuk diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke negara jiran dan senario ini menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira tiga kilometer bermula dari jejantas Padang Besar ke Kompleks ICQ Padang Besar.
Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Awang, 60, berkata setiap hari terdapat ratusan lori kontena dari Thailand akan masuk ke ICQ Padang Besar dan ada dalam kalangan pemandu lori warga Thailand kontena ini tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di sini.
"Mereka (pemandu lori kontena) dengan sewenang-wenang memotong barisan dan masuk ke laluan dagang sehingga menghalang laluan, kenderaan awam lain yang berada di belakang terpaksa melawan arus untuk meneruskan perjalanan namun ia boleh mengundang bahaya kepada orang lain," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Awang mendakwa perkara ini telah lama berlaku di pekan Padang Besar namum tiada tindakan diambil menyebabkan pemandu lori ini menjadi semakin 'besar kepala' dan tidak hormati penduduk setempat.
Turut berkongsi pendapat sama, seorang penduduk Ismail Yaakob, 54, berkata perkara tersebut berlaku kerana sikap pemandu lori yang tidak mengikut giliran sehingga menyebabkan laluan jalan terhalang.
"Saya lihat polis trafik ada membuat pemantauan pada setiap petang dan mengambil tindakan mengeluarkan saman kepada pemandu lori yang melanggar undang-undang lalu lintas," katanya.
Malah, beliau mencadangkan agar pihak Kastam Diraja Malaysia mencari satu mekanisme bagi mempercepatkan proses kenderaan perdagangan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara agar masalah ini dapat diselesaikan.
Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir pemandu lori warga Thailand ini berlagak seperti 'samseng' dan memandu sesuka hati tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata pihaknya memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan undang-undang tanpa kompromi terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.
"Pada Khamis (17 Feb), pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap kenderaan perdagangan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata perkara ini telah lama berlaku namun keadaan menjadi semakin serius kerana kerja-kerja menaik taraf di laluan masuk masih dilakukan.
"Stesen Kawalan Sempadan (SKS) JPJ Padang Besar sentiasa memantau isu ini dan tindakan segera telah diambil dengan melakukan rondaan lebih kerap bagi memastikan, tidak berlaku pelanggaran undang-undang (oleh pemandu kontena) sehingga menghalang aliran trafik di bulatan Padang Besar," katanya.
-- BERNAMA