Lori kontena dialih selepas 5 hari 'tergantung'
Sinar Harian
Mac 8, 2022 06:40 MYT
Mac 8, 2022 06:40 MYT
KAMPAR: Selepas lima hari 'tergantung' di Jalan Kampung Sungai Peria, Sahom, di sini, sebuah lori kontena yang terbabas dalam kejadian nahas pada 3 Mac lalu dialihkan pada Selasa.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja pengalihan lori kontena tersebut dilakukan oleh pihak Projek Lebuh raya Utara Selatan (PLUS).
Menurutnya, difahamkan usaha membawa naik kenderaan tersebut berjaya dilakukan dengan menggunakan dua kren di lebuh raya berkenaan arah selatan.
"Alhamdulillah, pihak PLUS sudah pun memindahkan lori kontena berkenaan yang menghalang jalan ke Kampung Sungai Peria itu.
"Jalan tersebut kini boleh dilalui penduduk setempat seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kampar, Mohd Azlan Helmi berkata, pihaknya turut menghantar traktor untuk membersihkan sisa lori kontena di sepanjang jalan tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan jalan tersebut benar-benar selamat untuk dilalui kenderaan ke Kampung Sungai Peria itu.
"Kita masih menuntut penjelasan mengapa masa terlalu lama diambil untuk mengalihkan lori kontena tersebut sedangkan situasi melibatkan ancaman nyawa penduduk.
"Kejadian seumpama ini tidak seharusnya berulang pada masa akan datang. Tindakan segera perlu diambil tanpa mengira kawasan kampung atau kawasan bandar bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Mohd Azlan sebelum ini bersama-sama penduduk meninjau keadaan itu selepas menerima aduan bahawa lori kontena tersebut masih belum dialihkan menyebabkan beberapa kenderaan yang berada di kampung tersebut terperangkap.
Pada 6 Mac lalu, media melaporkan kira-kira 100 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Peria, Sahom di sini berdepan risiko dihempap kenderaan berat kerana lori kontena yang terjunam dalam kejadian kemalangan itu masih belum dialihkan.
Disebabkan kejadian itu, hanya motosikal yang boleh melalui jalan itu kerana sebahagiannya terhalang oleh kenderaan berat itu.
Menurut penduduk, jalan berkenaan merupakan satu-satunya jalan ke kampung tersebut malah penduduk dan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa mengambil risiko untuk keluar ke pekan dan sekolah.
Dalam kejadian 3 Mac lalu, sebuah lori kontena dengan muatan batu kapur terjunam ke dalam gaung setinggi 10 meter dalam kejadian kemalangan di KM306 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini.
Kejadian kemalangan itu juga menyebabkan laluan ke Kampung Orang Asli Sungai Peria, Sahom, di sini terhalang kerana bahagian kepala lori menutup terowong di laluan tersebut.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.