Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

Sinar Harian
April 5, 2023 02:20 MYT
Operasi menyelamat yang dilakukan di lokasi kejadian. - Foto Bomba Perak/Sinar Harian
MANJUNG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjatuh dalam laut di Terminal Maritim Lumut di sini pada Rabu.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan pada jam 5.30 pagi membabitkan mangsa berusia lingkungan 20-an.
Ketua Operasi, Mohd Azizi Zakaria berkata, lori berkenaan terjatuh dalam laut pada anggaran kedalaman 11 meter.
"Maklumat diperolehi mengesahkan terdapat hanya seorang mangsa dalam lori terbabit.
"Kapal berdekatan dengan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi menyelamat dilakukan," katanya.
Menurut beliau, operasi menyelamat masih dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor.
"Dua unit kren dari pelabuhan, dalam tindakan untuk membawa naik lori ke tebing," katanya. - Sinar Harian
#lori jatuh dalam laut #lemas #Terminal Maritim Lumut