Lori ditahan, bawa muatan lebih 30 bungkus daun ketum

Amirrul Rabbani
Februari 9, 2023 13:34 MYT
Sebuah lori yang membawa muatan lebih 30 bungkusan hitam yang berisi daun ketum dengan anggaran berat 3,000 kilogram ditahan JPJ Perak di Kilometer (km) 4.7 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, pada jam 10.30 malam Ahad lalu.
GERIK: Penahanan ke atas sebuah lori di sini pada Ahad lalu membawa kepada penemuan muatan lebih 30 bungkusan hitam yang berisi daun ketum dengan anggaran berat 3,000 kilogram (kg).
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, lori itu telah ditahan ketika operasi rondaan harian diadakan di Kilometer (km) 4.7 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini pada jam 10.30 malam.
Menurut beliau, ketika ditahan, pihaknya mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu selain hasil semakan pada nombor casis dan enjin mendapati kenderaan itu disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Sehubungan itu, Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik telah mengambil tindakan menyita lori tersebut di bawah kesalahan Seksyen 108(1) APJ 1987, Mempamer Nombor Kenderaan.
“Saman JPJ(P)22 juga dikeluarkan ke atas pemandu kerana memandu kenderaan tanpa memiliki memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Tambah Mir Khairol Hafizal, berdasarkan hasil siasatan, pemandu memaklumkan, barangan yang dibawanya itu adalah untuk penghantaran ke kedai-kedai runcit di sekitar Kelantan.
Bagaimanapun, pada keesokan hari, beberapa pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas mendapati, terdapat bau pelik pada lori berkenaan sebelum kenderaan itu diperiksa pihak berkuasa.
“Anggota bertugas telah membuka kanvas lori tersebut dan mendapati lebih daripada 30 bungkusan hitam yang berisi daun ketum dengan berat kasar keseluruhan barangan dianggarkan 3,000 kg.
“Kes telah dirujuk kepada Ketua Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik dan laporan polis telah di buat di Balai Polis Bersia,” jelasnya lagi.
Menurutnya, JPJ Perak sentiasa bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain dalam menjalankan sebarang tugas penguatkuasaan.
Tambahnya lagi, JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang kepada mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#daun ketum #30 bungkus daun ketum #Jalan Raya Timur Barat #JPJ Perak
;