Lori bawa bahan toksik terbalik berhampiran Plaza Tol Jelapang
Astro Awani
Januari 9, 2014 12:27 MYT
Januari 9, 2014 12:27 MYT
Sebuah lori tangki yang membawa bahan toksik formaldehid terbalik dan mengalami kebocoran di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang pagi tadi.
Menurut satu laporan Bernama, laluan di Km 269.8 dijangka ditutup kepada lalu lintas sehingga 1 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P. Sumasivam berkata buat masa ini trafik dilencongkan ke Jalan Persekutuan.
Penutupan jalan itu bagi membolehkan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat pasir Puteh di sini menjalankan kerja-kerja pembersihan, katanya kepada pemberita di lokasi.
Menurut Sumasivam, kemalangan berlaku pukul 7.20 pagi tadi dan turut membabitkan dua buah kereta yang gagal mengelak lori tangki berkenaan yang melintangi jalan.
Kemalangan menyebabkan empat orang termasuk pemandu lori tangki itu cedera dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan, katanya.
Beliau berkata lori itu yang membawa 23 tan metrik cecair formadehid bagi kegunaan industri dalam perjalanan dari Prai, Pulau Pinang ke Kuantan, Pahang.