Lori bawa bahan kimia Argon terbalik di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
November 21, 2021 09:27 MYT
Tangki tersebut berjaya dialihkan dan diserahkan kepada pihak PLUS Berhad untuk tindakan selanjutnya. - Foto JBPM
IPOH: Sebuah lori yang membawa muatan bahan kimia Argon terbalik di Kilometer 264.7 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, awal pagi ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang kebocoran tangki dan kecederaan dilaporkan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.12 pagi.
“Pasukan bomba dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) negeri Perak membuat pengesahan untuk mengenalpasti sebarang kebocoran dan didapati tiada kebocoran,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba kemudiannya membuat penyejukan sebagai salah satu langkah keselamatan.
Katanya, tangki tersebut berjaya dialihkan dan diserahkan kepada pihak PLUS Berhad untuk tindakan selanjutnya.
Kegunaan utama Argon adalah sebagai gas pelindung lengai dalam proses kimpalan dan proses-proses industri bersuhu tinggi lain yang menjadikan bahan-bahan yang biasanya tidak bertindak balas, mudah bertindak balas.
#lori terbalik #Argon #bahan kimia #Hazmat
;