Lori bawa asid sulfurik terbalik
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 28, 2022 21:08 MYT
Mac 28, 2022 21:08 MYT
BUKIT MERTAJAM: Sebuah lori membawa tujuh tong berisi asid sulfurik terbalik dalam kejadian di Simpang Tiga Pondok Labu, Jalan Sungai Lembu, Bukit Mertajam pada Isnin.
Lori yang dipandu lelaki berusia 50-an itu dipercayai terbabas sebelum terbalik dalam kejadian kira-kira 4 petang itu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pemandu lori berkenaan berjaya menyelamatkan diri namun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjut.
Terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Perai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4 petang.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati sebuah lori lima tan membawa tujuh tong berisi asid sulfurik berkapasiti 1,500 liter terbalik.
"Terdapat dua tong asid sulfurik bocor menyebabkan ia tertumpah di tepi jalan."
"Ketika ini anggota bomba sedang mengenal pasti jika ada bahan kimia lain di tempat kejadian dengan dibantu syarikat lori terbabit sebelum menjalankan kerja pembersihan," kata kenyataan tersebut hari ini.