Lontar mercun ke arah polis: 2 suspek didakwa esok

Bernama
Mei 20, 2021 17:54 MYT
Sebelum ini, polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes membakar dan melontar mercun ke arah anggota polis yang membuat rondaan di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Kuala Lumpur. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Dua suspek yang dipercayai melontar mercun ke arah polis akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kedua-dua suspek akan dituduh pada 9 pagi.
Beliau berkata seorang suspek akan dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan manakala seorang lagi akan dituduh di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.
BACA: Empat ditahan kes lontar mercun ke arah polis di Sentul
Pada 13 Mei dan 15 Mei lepas, polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes membakar mercun yang dilarang dan melontarnya ke arah anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini.
Daripada lapan individu yang ditahan itu dua daripada mereka mengaku melakukan perbuatan melontar mercun ke arah polis.
-- BERNAMA
#lontar mercun #Sentul #remaja #polis #Pangsapuri Sri Perak #didakwa di mahkamah
;