Longkang tidak mampu tampung hujan, sebabkan banjir kilat di ibu negara
Bernama
Mac 16, 2017 12:07 MYT
Mac 16, 2017 12:07 MYT
Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu keadaan longkang yang tidak mampu menampung intensi penurunan hujan yang tinggi antara punca utama berlakunya banjir kilat di ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata longkang sedia ada di ibu negara direka bentuk untuk menampung keamatan hujan sebanyak 50 milimeter namun kapasiti itu berkurangan seiring peredaran masa dan persekitaran yang menyebabkan keuzuran longkang.
"Sebagai contoh di Lebuh Pasar, bacaan turun hujan mencatatkan hujan sebanyak 50 mm. Bagaimanapun keadaan longkang yang berusia sudah tidak mampu lagi menampung jumlah itu," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan menteri hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai punca kejadian banjir kilat di sembilan jalan sekitar Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Tengku Adnan berkata banjir kilat turut disebabkan saluran keluar air dari jalan ke longkang tersumbat, saluran air ke longkang tidak mencukupi serta kelodak hakisan tanah disebabkan kerja-kerja membangunkan tanah.
Katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti kawasan yang kerap mengalami air bertakung semasa hujan lebat dan sedang menyediakan cadangan untuk menanganinya.
Mengenai banjir dua hari lepas, Tengku Adnan berkata insiden tidak menyebabkab jalan ditutup namun kenderaan bergerak perlahan.
Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah mengenai kerja menaik taraf kawasan Pantai Baru yang sering dilanda banjir kilat, Tengku Adnan berkata DBKL sedang bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi menaik taraf kolam takungan banjir sebagai usaha mengawal keadaan banjir kilat di situ.
Kerja memperdalamkan kolam tersebut sedang dilaksana dengan kos ditanggung DBKL, katanya.
-- BERNAMA