Longkang tersumbat masih jadi antara punca utama banjir di Selangor

Bernama
Disember 29, 2022 17:24 MYT
Norazam berkata, kekerapan bencana itu dilihat lebih banyak berlaku pada tahun ini ekoran hujan lebat sering melanda di negeri berkenaan sejajar dengan perubahan iklim dunia. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kejadian banjir dan banjir kilat yang kerap berlaku di Selangor sepanjang tahun ini dipercayai berpunca daripada faktor cuaca hujan lebat dan sistem perparitan yang tersumbat dengan sampah sarap yang dibawa oleh air banjir.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata kekerapan bencana itu dilihat lebih banyak berlaku pada tahun ini ekoran hujan lebat sering melanda di negeri berkenaan sejajar dengan perubahan iklim dunia.
Susulan insiden bah besar yang melanda Selangor pada tahun lepas, katanya pihak bomba telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan melakukan rondaan di kawasan berisiko dilanda banjir sebagai langkah waspada ketika hujan lebat, berbanding sebelum ini iaitu menunggu panggilan kecemasan daripada orang awam.
"Pada tahun ini, didapati lebih banyak hujan lebat berlaku di sesetengah tempat di Selangor yang menyebabkan kejadian banjir kilat, namun kebanyakan air banjir di kawasan terjejas akan surut sejam ke dua jam kemudian dan kebanyakan penduduk tidak mahu berpindah kerana air surut dengan cepat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata selain itu, pertambahan projek pembangunan perumahan di sekitar negeri itu turut menyumbang kepada kejadian banjir ekoran keadaan longkang yang kecil serta sempit di sesetengah kawasan dan tidak dapat menampung aliran air hujan.
"Kita lihat kebanyakan parit dan longkang memang telah dibersihkan secara berkala cuma apabila berlaku hujan, sesetengah kawasan itu ada sampah yang dibawa air hujan masuk ke dalam longkang yang menyebabkan ia tersumbat dan berlaku banjir.
"Jadi kita nasihatkan orang ramai untuk jaga kebersihan dan buang sampah di tempat yang disediakan, bagi mengelakkan aliran air hujan terjejas akibat sampah yang dibuang merata-rata," katanya.
Selain itu, katanya fenomena air pasang yang berlaku serentak semasa hujan lebat turut menyumbang kepada kejadian banjir terutamanya di daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Norazam turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan tanah rendah dan kerap dilanda banjir untuk mengambil langkah waspada dan mengambil maklum tentang perubahan cuaca dari semasa ke semasa.
"Ini terutamanya ketika hujan lebat dan musim Monsun Timur Laut, mereka perlu bersedia lebih awal untuk menyelamatkan harta benda mereka bagi mengurangkan kerugian ketika banjir berlaku," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #Selangor #punca banjir #longkang tersumbat
;