LONGi kemuka pelan pelaburan 1.8 bilion di Sarawak - Awang Tengah

Astro Awani
Februari 12, 2022 15:37 MYT
Pelaburan dari LONGi dan beberapa syarikat multinasional lain di negeri ini ternyata memberi impak positif dengan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. FOTO: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemilihan Sarawak sebagai lokasi pelan pengembangan baharu LONGi Kuching Sdn Bhd membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Ini selepas syarikat solar terkemuka dari China itu, menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ngieng Sii Jing mengemukakan pelan pelaburan bernilai RM 1.789 bilion ringgit di Sarawak.
Menerusi kenyataannya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Pelaburan, Awang Tengah turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat multinasional itu yang memilih Sarawak berbanding Vietnam bagi pelan pembangunan berskala besar itu.
‘’Pelaburan dari LONGi dan beberapa syarikat multinasional lain di negeri ini ternyata memberi impak positif dengan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
‘’Kerajaan Sarawak semestinya akan memberi sokongan penuh dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pelaburan baharu ini,’’ katanya.
Pada masa sama, Ngieng berkata sejumlah 1,730 pekerja diperlukan apabila pelan pengembangan tersebut siap pada suku ketiga tahun ini.
Ketika ini, LONGi mempunyai seramai 2,959 pekerja dengan 99 peratus daripadanya merupakan warga Bumi Kenyalang.
‘’Menerusi pengembangan ini, LONGi Kuching akan menjadi pengeluar sel solar, wafer dan ingots di Malaysia.
‘’Pembangunan berteknologi tinggi ini juga adalah seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030,’’ ujarnya.
LONGi Kuching merupakan anak syarikat China, Xi’an Longi Silicon Materials Corp (LONGi) telah melabur sejumlah RM 2.1 bilion sejak memulakan operasi di Sarawak pada 2016.
Ia menumpukan pembuatan solar bersepadu yakni proses menghasilkan sel solar, wafer dan ingots di Sama Jaya High Tech Park (Sama Jaya).
#pelaburan Sarawak #solar Sarawak #Syarikat multinasional #PCDS 2030
;