Longgokan puing hanyut akan segera dibersihkan

Astro Awani
Mac 29, 2022 09:45 MYT
Longgokan puing yang hanyut akibat banjir pada akhir Februari lalu di sekitar Tasik Kenyir akan segera dibersihkan dan dibawa keluar dari kawasan itu. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Longgokan puing yang hanyut akibat banjir pada akhir Februari lalu di sekitar Tasik Kenyir akan segera dibersihkan dan dibawa keluar dari kawasan itu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata, ketika ini kesemua sisa-sisa kayu berkenaan diikat dan diletakkan di tebing tasik sebelum kerja-kerja pemindahan dilakukan.
Menurutnya, proses itu mengambil sedikit masa berikutan ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.
Jelasnya, pihaknya juga berpuas hati dengan hasil siasatan yang mendapati insiden tersebut berpunca dari hujan lebat luar biasa dan bukan disebabkan aktiviti pembalakan di Tasik Kenyir.
"Pada pandangan saya, bukit-bukit ataupun tempat-tempat riadah yang ada dalam Tasik Kenyir adalah buatan manusia.
"Ia tak sama dengan bukit yang ada di pulau. Ia ada batu, kita tak ada batu. Ini pokok biasa. Jadi, kalau air laju, maka ia akan runtuh, pokok-pokok yang sudah mati itu akan jatuh," katanya.
BACA: Tiada aktiviti pembalakan haram di Tasik Kenyir - Jabatan Perhutanan Negeri
BACA: Tanah runtuh: Laluan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir ditutup sementara
Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu bermula 25 Februari lalu menyaksikan lebih 20,000 mangsa daripada kira-kira 7,000 keluarga terjejas.
Hulu Terengganu ialah lokasi terakhir yang diisytiharkan pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan ditutup pada 5 Mac lalu.
#Razali Idris #puing hanyut #Tasik Kenyir #Lembaga kemajuan Terengganu Tengah
;