Longgokan kereta terpakai terbakar di Tapah

Aida Aziz
Disember 1, 2022 05:45 MYT
Operasi memadam kebakaran yang melibatkan longgokan kereta terpakai di Jalan Pahang, Tapah, malam tadi tamat pada jam 8.32 malam. - Foto JBPM Perak
TAPAH: Satu longgokan kereta terpakai musnah dalam kejadian kebakaran di kawasan lapang berdekatan sebuah bengkel di Jalan Pahang, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kereta terpakai berkenaan dikumpulkan di kawasan itu untuk dilupuskan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.43 malam, seterusnya menggerakkan ke lokasi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan. Didapati kebakaran itu melibatkan longgokan kereta terpakai untuk dilupuskan.
"Insiden ini tidak membabitkan sebarang mangsa atau struktur lain di kawasan kejadian," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kata jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadam.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nizam Mohd Akhir itu tamat pada jam 8.32 malam.
#kereta terpakai #kebakaran #Tapah #JBPM Perak
;