Longgokan hiasan ayat al-Quran ditemui tepi jalan

Sinar Harian
Disember 27, 2022 21:34 MYT
Longgokan hiasan ayat al-Quran yang kebanyakannya berbentuk bingkai gambar itu ditemui kira-kira jam 12.15 tengah hari. - Gambar/ Sinar Harian
NILAI: Tidak sensitif. Itu istilah paling tepat terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang hiasan ayat-ayat al-Quran di Jalan P/AM 2, Kawasan Perindustrian Arab Malaysia di sini pada Selasa.
Longgokan hiasan ayat al-Quran yang kebanyakannya berbentuk bingkai gambar itu ditemui kira-kira jam 12.15 tengah hari oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menerusi rondaan berkala yang dilakukan.
Maklumat itu kemudiannya disalurkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang telah mengambil tindakan pantas mengumpulkan kesemua ayat-ayat suci berkenaan untuk dibawa ke Pusat Pelupusan al-Quran di Pusat Dakwah Islamiah di Paroi, Seremban.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya percaya hiasan ayat al-Quran berkenaan dibuang oleh pihak industri dan bukannya individu.
"Jika dilihat pada longgokan hiasan ayat al-Quran ini, ia bukannya dibuang oleh individu kerana saya rasa tiada individu yang menyimpan hiasan ayat-ayat al-Quran sebanyak ini.
"Bagi saya ia tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencari jalan mudah untuk melupuskannya dan berdasarkan pemerhatian terdapat sedikit kesilapan pada sebahagian ayat-ayat al-Quran ini," katanya ketika ditemui di lokasi pada Selasa.
Menurutnya, walau apa saja ayat suci al-Quran, sama ada berbentuk naskhah atau hiasan, ia perlu dilupuskan mengikut hukum syarak ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat khususnya peniaga hiasan ayat-ayat al-Quran supaya berhubung dengan JHEAINS jika berhasrat melupuskannya.
"Individu yang didapati melupuskan ayat al-Quran dengan cara tidak sepatutnya boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mencela, menghina dan sebagainya agama Islam.
"Saya difahamkan penemuan pembuangan ayat-ayat suci al-Quran seperti ini pernah berlaku tujuh tahun lalu di Nilai dan saya percaya ia bukan amalan yang biasa dilakukan," katanya. - Sinar Harian
#hiasan ayat al-Quran #nilai #buang al-Quran #Negeri Sembilan
;