Longgar syarat pinjaman bantu generasi baharu Felda miliki rumah - PM

Madiha Abdullah
Julai 7, 2020 17:18 MYT
Muhyiddin berucap merasmikan Hari Peneroka di Trolak, Sungkai, hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan hari ini mengumumkan berita gembira berhubung pembiayaan bagi generasi baharu Felda untuk memiliki rumah menerusi skim Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, AgroBank telah bersetuju bekerjasama bagi memberikan kelonggaran syarat pinjaman di samping menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada pemohon yang layak.
"Kadar pembiayaan juga lebih tinggi iaitu 110% dari harga rumah dengan nilai maksimum RM300,000.
"MoU (memorandum persefahaman) yang ditandatangani dengan pihak Agrobank akan memberikan kemudahan pinjaman kepada warga peneroka bagi memiliki rumah sendiri," kata Muhyiddin.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Sungkai, hari ini.
Dalam pada itu, Felda dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengenal pasti 15 projek keusahawanan bernilai tinggi untuk dilaksanakan di kawasan tanah rancangan Felda.
"Projek ini mensasarkan 3,170 usahawan baharu dalam tempoh lima bulan dengan menggunakan fasiliti di Fakulti Pertanian UPM.
"Saya yakin kerjasama ini akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada warga Felda, sekali gus meningkatkan pendapatan," katanya.
Dalam acara yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Lembah Herba yang menjadi sebahagian dari Program Pembangunan Peneroka yang akan dilaksanakan di lima rancangan di Felda Wilayah Trolak.
Fasa pertama tanaman melibatkan lima tanah rancangan di zon Trolak iaitu Trolak Utara, Trolak Selatan, Trolak Timur, Sungai Klah dan Sungai Behrang melibatkan kawasan keseluruhan seluas 59.24 hektar.
Tanaman yang telah dikenal pasti adalah misai kucing, belalai gajah, kacang sacha inchi, roselle serta daun gelenggang dan akan diusahakan secara komersial oleh semua peneroka.
#Felda #Hari Peneroka #kerajaan #Lembah Herba #Muhyiddin Yassin #pemilikan rumah #peneroka #Perdana Menteri #rumah #tanah #Trolak #UPM
;